header MY040719   

Perkhidmatan Bernilai Komitmen Kami

 

MAJLIS PENYERAHAN SIAP KERJA BAGI PROJEK PEMBINAAN SATU BLOK TAMBAHAN ASRAMA, DEWAN MAKAN DAN BILIK KULIAH DI INSPEN

 

8 Mac 2024 – Majlis penyerahan siap kerja bagi projek Pembinaan Satu Blok Tambahan Asrama, Dewan Makan dan Bilik Kuliah telah berlangsung dengan jayanya di Institut Penilaian Negara (INSPEN).

Majlis penyerahan siap kerja ini telah disempurnakan oleh YBrs. Ir. Haji Lokman Haji Nasir, Pengarah Jabatan Kerja Raya Negeri Selangor selaku Pegawai Penguasa Projek, bersama Puan Natrah Mohd Zahari, Ketua Seksyen Pembangunan dan Perolehan yang mewakili Kementerian Kewangan Malaysia.

Majlis ini turut dihadiri YBrs. Sr Abdul Razak Yusak, Ketua Pengarah Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), YBrs. Sr Aina Edayu Ahmad, Pengarah INSPEN, Tuan Azarul Azlan Mohd Radhi, Jurutera Daerah Jabatan Kerja Raya Daerah Sepang dan YBrs. Ir. Nik Rabihah Zahrah Nik Sulaiman, wakil dari Cawangan Kerja Bangunan Am 1 Jabatan Kerja Raya Malaysia selaku Head of Project Team.

Turut hadir memeriahkan majlis ini adalah warga kerja dari Kementerian Kewangan Malaysia, JPPH, INSPEN, Jabatan Kerja Raya, pasukan perunding projek, kontraktor utama dan sub-kontraktor yang terlibat dalam melaksanakan projek ini.

Projek ini telah dilaksanakan oleh tetuan Wangsa Delima Sdn Bhd selaku kontraktor utama bersama beberapa sub-kontraktor untuk skop kerja mekanikal dan elektrik sehingga projek berjaya disiapkan pada 31 Januari 2024. Projek ini merangkumi kerja-kerja pembinaan bilik asrama sebanyak 144 unit bilik, dewan serbaguna dan dewan makan yang mampu menampung kapasiti sehingga 500 orang dalam satu-satu masa, enam (6) buah bilik kuliah yang dilengkapi mesin projektor dan skrin layar, ruangan pejabat, surau, rumah sampah serta kerja-kerja menaiktaraf Sewage Treatment Plant (STP) sedia ada di INSPEN.