inspen 1

Laman Web Rasmi

INSTITUT PENILAIAN NEGARA

Kerja Keras, Kerja Cerdas, Kerja Ikhlas, JPPH 1st Class

Akademik

Pengenalan

Pusat Akademik adalah struktur baru dan merupakan satu lagi sumbangan INSPEN dalam bidang pendidikan kepada negara amnya dan industri harta tanah khususnya. Sebagai sebuah organisasi yang terlibat secara langsung dengan industri harta tanah, JPPH sangat peka dengan perkembangan dan kehendak semasa industri harta tanah. Justeru itu, JPPH melalui institusi latihannya, INSPEN, melangkah setapak ke hadapan untuk memanfaatkan sepenuhnya pengalaman luas ini dengan menawarkan perkhidmatan pendidikan.

Ia bertepatan dengan pindaan kepada Akta Penilai, Pentaksir dan Ejen Harta Tanah, 1981 (Pindaan 1999) yang telah memperluaskan skop fungsi Ketua Pengarah Penilaian dan Perkhidmatan Harta untuk meliputi perkhidmatan pendidikan. Bagi melaksanakan skop baru ini, INSPEN telah berdaftar dengan Kementerian Pendidikan, di bawah Akta Pendidikan 1996, sebagai sebuah institusi pendidikan.

Program pendidikan ini berbeza daripada program-program lain di INSPEN kerana ia membuka peluang pembelajaran di peringkat sijil kepada penuntut-penuntut lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Pembentukan program tahap sijil ini telah dibuat atas kesedaran bahawa para majikan dalam industri harta tanah kekurangan tenaga kerja di peringkat separa profesional yang mempunyai pendidikan formal dan lengkap dengan pengetahuan asas.

Kata Aluan Ketua Pusat Akademik

Assalamualaikum wbt dan Salam Sejahtera,

Selamat Datang ke Laman Web Pusat Akademik.

INSPEN terdiri daripada Pusat Latihan, Pusat Penyelidikan dan Pusat Pendidikan dalam bidang harta tanah serta mengendalikan program – program profesional seperti simposium, persidangan dan kursus-kursus jangka pendek serta jangka panjang.

Bermula 21 Ogos 2003, fungsi INSPEN diperluaskan sebagai INSTITUSI PENDIDIKAN yang melaksanakan program Sijil Penilaian Harta Tanah (SPHT). Kejayaan INSPEN dalam bidang pendidikan harta tanah diteruskan dengan penambahan 2 lagi program iaitu Sijil Pengurusan Harta Tanah (SPGT) pada September 2008 dan Sijil Agensi harta Tanah (CEA) pada tahun 2011.

Sijil SPHT dan SPGT ini diiktiraf oleh Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) seperti Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM). Pusat Akademik dan Pengurusan Tertinggi INSPEN kini sedang berusaha gigih untuk memastikan kedua-dua program ini mendapat pengiktirafan penuh daripada Malaysian Qualifications Agency (MQA) bagi meningkatkan keyakinan para graduan lepasan program INSPEN.

Selain itu, graduan SPHT dan SPGT INSPEN juga diiktiraf oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di mana kelulusan ini diterima setaraf dengan Sijil dari Politeknik Kementerian Pengajian Tinggi bagi maksud lantikan ke jawatan yang bersesuaian dalam Perkhidmatan Awam Malaysia. 

Prospek graduan INSPEN juga termasuklah meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi di universiti awam dan swasta, dalam dan luar negara. Dua (2) universiti di Australia, iaitu Queensland University of Technology (QUT) di Brisbane dan University of Western Sydney (UWS) menerima graduan Sijil Penilaian Harta Tanah (SPHT) dan Sijil Pengurusan Harta Tanah (SPGT) INSPEN untuk kemasukan terus ke program Ijazah Sarjana Muda, iaitu hasil kerjasama intelektual yang dijalinkan dengan INSPEN. 

Bilangan pelajar yang mendaftar masuk ke program yang ditawarkan di Pusat Akademik INSPEN kian meningkat saban tahun. Oleh itu, Pusat Akademik terus komited mengembeling usaha untuk melahirkan graduan yang cemerlang ilmu dan sahsiah diri. 

Semoga Pusat Akademik INSPEN terus menjadi pilihan sebagai wadah untuk kecemerlangan ilmu harta tanah.

Farha binti M. Saad 
Ketua Pusat Akademik
Institut Penilaian Negara (INSPEN)

 

Struktur Organisasi